JOHOR BAHRU – Legenda ragbi New Zealand All Black, Sonny Bill Williams sedia membantu Johor melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.
Beliau yang juga dikenali dengan nama Hamzah berkata, ia merupakan satu penghormatan besar buat dirinya apabila dilantik sebagai Duta Sukan Johor.
“Saya percaya sukan mempunyai kuasa mengubah kehidupan, membentuk keperibadian dan menyatukan masyarakat. Komitmen ini selari dengan visi kerajaan Johor.
“Jadi apabila Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengajak saya untuk terlibat dalam pembangunan sukan di negeri ini, saya terus setuju,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Sonny Bill Williams yang diadakan di Hotel DoubleTree, di sini hari ini.
Tambah Williams, pihaknya sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran yang dimiliki bagi memberi inspirasi kepada generasi atlet muda untuk berusaha gigih bagi mencapai impian mereka.
“Melalui sesi latihan, program bimbingan serta pembangunan akar umbi, saya berharap dapat menyerap kepentingan disiplin, rasa hormat dan ketahanan diri atlet muda.
“Realitinya bukan semua mampu mencapai cita-cita menjadi atlet bertaraf dunia, tetapi semua orang mampu menjadi versi terbaik diri mereka,” katanya yang merupakan juara Piala Dunia Ragbi serta bekas peninju profesional.-KOSMO! ONLINE