Malah, ramalan Jabatan Meteorologi menunjukkan, sepanjang minggu ini yang juga merupakan hujung tahun akan berlaku penurunan hujan di kebanyakan tempat di seluruh negara.

Bagi menghadapi musim tengkujuh pula, kebanyakan jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pihak-pihak lain sudah bersiap siaga bukan sahaja dari segi fizikal dan mental, malah kelengkapan dan aset yang sesuai digunakan ketika menghadapi banjir.

Pengerusi Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar dari Fakulti Sains dan Teknologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Fredolin Tangang berkata, Malaysia berada di kawasan yang dipengaruhi oleh sistem monsun Asian-Australia. Perubahan musim sejuk dan panas di Hemisfera Utara menyebabkan perbezaan tekanan udara di benua Australia dan di kawasan Siberia. Ini menjana tiupan Monsun Timur Laut dan juga Monsun Barat Daya.

Beliau menjelaskan, setiap tahun dari penghujung Oktober atau awal November hingga Februari tahun berikutnya, Malaysia akan mengalami musim Monsun Timur Laut.

Pada ketika ini tiupan angin timur laut dan juga luluran sejuk membawa lembapan ke kawasan Malaysia. Ini menjadikan kawasan Semenanjung Malaysia terutamanya negeri-negeri di Pantai Timur akan mengalami curahan hujan yang tinggi.

Bagaimanapun, mengikut kajian yang dijalankannya bersama kumpulan penyelidik di UKM mendapati, beberapa faktor boleh mempengaruhi berlakunya cuaca ekstrem dengan yang utama adalah berpunca daripada kewujudan lembapan tinggi yang menjana sistem perolakan yang kuat.

“Semasa musim Monsun Timur Laut, tiupan angin kencang akibat pengukuhan sistem tekanan tinggi yang berpusat di Siberia akan mengangkut kelembapan udara di atas Laut China Selatan menuju ke arah Semenanjung Malaysia hingga menyebabkan perolakan yang kuat berlaku,” katanya ketika dihubungi menerusi e-mel semalam.

Seiring dengan pergerakan palung monsun ke arah selatan, beliau berkata, kebarangkalian berlakunya banjir adalah tinggi di bahagian utara pada awal monsun dan sebaliknya, di bahagian selatan pada Januari.

Salur maklumat

Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid menasihatkan orang ramai terutamanya mereka yang tinggal di kawasan berisiko seperti di tempat bercerun agar sentiasa berwaspada.

Malah, nasihat yang sama turut diberikan kepada mereka yang merancang untuk keluar bercuti bersama keluarga pada waktu cuti sekolah ini agar mengelak daripada mengunjungi kawasan yang berisiko tinggi.

“Kita juga mahu ketua masyarakat dan orang ramai untuk membantu agensi-agensi kecemasan termasuk menyalurkan maklumat sekiranya berlaku perubahan paras air dan limpahan hujan di kawasan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Sebagai langkah bersedia, beliau menambah, semua cuti rehat kakitangan operasi JBPM di negeri-negeri seluruh negara sudah dibekukan terutama mereka yang bertugas di negeri-negeri Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan serta di sebelah utara iaitu Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, pada masa sama, anggotanya juga bersiap siaga memastikan lokasi berisiko di Pantai Barat dan Selatan serta Sabah dan Sarawak diberi perhatian sehingga awal tahun 2019.

“JBPM turut bersedia dari segi logistik apabila menyediakan lebih kurang 450 unit logistik terdiri daripada peralatan marin dan pengangkutan pemindahan seperti lori dan bot amfibia selain memastikan pangkalan udara di Miri, Subang dan Bertam dalam keadaan berjaga-jaga.

“Semua 16 pusat gerakan operasi (PGO) banjir negeri-negeri dan pusat pengurusan operasi utama di Putrajaya juga sudah dibuka dan diletakkan pegawai kanan untuk bertugas pada setiap syif,” ujarnya.

JBPM turut bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam menjalankan tugas sepanjang tempoh berjaga-jaga itu.