fbpx

TV AlHijrah bersiaran 17 jam, rai Hari Arafah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETUA Pegawai Eksekutif TV AlHijrah (lima dari kiri) bersama-sama para asatizah yang menjayakan majlis pelancaran Kempen Haji 1443 TV AlHijrah

KUALA LUMPUR – Bersempena Hari Arafah yang jatuh sehari sebelum sambutan Hari Raya Haji, TV AlHijrah buat pertama kalinya akan bersiaran selama 17 jam bermula seawal 5 pagi hingga 10 malam pada 9 Julai nanti menerusi program khas, Munajat Arafah.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, melalui program tersebut, penonton akan dihidangkan dengan kandungan bermakna antaranya pertukaran Kain Kiswah Kaabah.

“Selalunya umat Islam di negara ini tidak terlalu memberi fokus kepada Hari Arafah, jadi di TV Alhijrah kami mahu membawakan budaya baharu melalui program ini.

“Memilih tema Baitullah Bertemu Kembali, kempen Program Haji 1443H ini juga turut menyediakan lapan lagi program menarik sepanjang 20 Jun sehingga 13 Julai ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tema berkenaan, Namanzee memberitahu, tema yang diangkat itu akan dijadikan sebagai latar, tema dan panduan kepada kandungan-kandungan yang akan disiarkan.

Selain itu, tema tersebut turut jelas menyatakan objektif penyiaran TV Alhijrah sepanjang Zulhijjah untuk menjadi stesen pemangkin inspirasi yang mendorong keinginan penonton untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah apabila berkemampuan.

Tahun lalu, TV Alhijrah berjaya menarik jumlah penonton seramai 3.3 juta pada Kempen Haji 1442H, sekali gus mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi stesen berkonsepkan Islam.

“Jumlah tontonan ini juga telah menjadi pemangkin semangat serta suntikan motivasi untuk kami menghidangkan lebih banyak program menarik dan berkualiti pada tahun ini yang merangkumi program-program keagamaan, bual bicara, dokumentari, masakan, rancangan khas seperti kapsul serta lintas langsung dari Mekah Al Mukarramah,” tambahnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI