fbpx

Sejarah 1992 jadi azimat Denmark

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DENMARK menjadikan kejayaan muncul juara pada 1992 sebagai pembakar semangat mereka untuk berdepan Czech pada aksi tengah malam ini. – AFP

COPENHAGEN – Denmark memasang hajat untuk mengulangi pencapaian 1992 di mana mereka melakar kejutan dengan menjulang trofi kejuaraan Euro selepas menewaskan Jerman 2-0 di perlawanan akhir.

Bagaimanapun, pada saingan Euro 2020 kali ini, mereka perlu melepasi halangan Republik Czech terlebih dahulu menjelang aksi suku akhir di Stadium Olim­pik Baku tengah malam ini.

Ketua jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand berkata, mereka sedia untuk mengulangi sejarah 1992, namun percaya ia bukanlah perkara mudah memandangkan perlu berdepan banyak pasukan hebat.

Justeru, beliau menggesa barisan pemainnya menampilkan aksi terbaik serta tidak mensia-siakan peluang yang ada jika mahu melakar kejutan dengan menjuarai Euro kali ini.

“Mungkin ini adalah peluang yang tidak mungkin kami dapat pada kejohanan akan datang. Jadi, saya mahu semua pemain mengambil tanggungjawab de­ngan menjalankan tugas masing-masing nanti.

“Kami sudah bekerja keras dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jadi saya tidak mahu ia disia-siakan. Saya mahu Denmark ambil peluang ini jika mahu ulangi pencapaian 1992,” tegas beliau.

Sebagai rekod, Denmark hampir tersingkir di peringkat kumpulan selepas tewas dalam dua aksi awal peringkat kumpulan selain kehilangan tonggak tengah, Christian Eriksen yang terkena serangan jantung.

Bagaimanapun, mereka melakar kejutan apabila melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik sebagai naib juara kumpulan selepas membelasah Rusia 4-1 pada aksi terakhir.

Sementara itu, pemain pertahanan Denmark, Mathias Jorgensen berharap rakan sepasukan menjadikan aksi suku akhir Euro 2004 sebagai pengajaran apabila mereka tewas 0-3 kepada lawan sama yang ketika itu dibarisi Pavel Nedved dan Milan Baros.

“Secara jujur, saya ada satu sejarah yang sangat mengecewakan, iaitu ketika menonton perlawanan antara Denmark dan Czech pada pusingan suku akhir Euro 2004.

“Pada ketika itu, saya yakin kami boleh menang mudah ke atas mereka, namun sebaliknya yang berlaku apabila Denmark tewas 0-3. Oleh itu, saya berharap semua pemain menjadikan ia sebagai pengajaran menjelang aksi suku akhir nanti,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI