fbpx

Ruang bahagia Bella, Aliff mencari diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELLA dan Aliff bersama anak sulung mereka, Mohamad Ayden Adrean.

IKATAN rumah tangga pasangan Bella Astillah dan Aliff Aziz pernah bergegar dan runtuh akibat dilanda badai. Mahligai yang dibina pada awalnya atas dasar cinta, terumbang-ambing dek khilaf si suami yang ‘daif’ mencari arah ketika itu.

Beberapa kontroversi yang tercetus membabitkan isu kecurangan bersama beberapa selebriti tempatan mencalarkan imej lelaki kelahiran Singapura itu.

Tidak cukup dengan terpalit isu skandal, penyanyi itu juga umpama menconteng arang ke muka sendiri apabila terbabit pula dengan kes kecurian dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam beberapa tahun lalu.

ALIFF mahu memanfaatkan peluang yang diberikan kepadanya untuk membaiki diri dan terus mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama Bella.

Akibatnya? Aliff dijatuhi hukuman penjara selama 14 hari dan juga denda akibat perbuatan tersebut. Mungkin benar kata orang, pengalaman mematangkan hidup seseorang.

Hari ini, Aliff yang sebelum ini dikenali dengan imej ‘liar’ tampil dengan keadaan yang sangat berbeza. Dirinya semakin positif, malah butir bicaranya juga kedengaran lebih matang.

Penampilan dan raut wajah penyanyi tinggi lampai itu kelihatan cukup berbeza berbanding ketika dirinya sedang panas meledak dengan siri kontroversi yang meranapkan nama serta kariernya.

Bahkan, kasih sayangnya terhadap si isteri, Bella semakin menebal meskipun rumah tangga pasangan itu pernah musnah dengan lafaz perceraian pada 2019 angkara siri kontroversi yang memalu kencang kehidupan mereka ketika itu.

Bersyukur

Aliff yang ditemui ketika majlis perasmian Masok Food Court di Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia sangat bersyukur kerana disatukan kembali dengan isteri dan anak-anak selepas dua tahun berada di Singapura sekali gus dapat menjalani ibadah puasa bersama-sama.

“Alhamdulillah, tahun ini saya dapat berpuasa bersama isteri dan anak-anak. Dengan peluang yang ada, saya mahu memanfaatkan bulan Ramadan sebaik mungkin bersama keluarga.

“Sehingga habis Ramadan nanti, saya berharap dapat mencipta kenangan manis bersama keluarga,” kata Aliff, 30.

KEKHILAFAN dahulu yang terjadi dalam rumah tangga Aliff dan Bella dijadikan pengajaran untuk mereka membina keluarga bahagia pada hari ini.

Sementara bagi Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, tiada kata dapat dilafazkan selain daripada kalimat syukur kerana pada tahun ini, keluarganya kembali lengkap dengan kepulangan suami ke pangkuan dan dua orang anak mereka.

“Puasa tahun lepas memang berbeza dengan tahun ini. Saya rasa sangat gembira kerana dapat meraikan Ramadan bersama Aliff,” kata Bella.

Mengakui telah melakukan banyak perkara ‘sumbang’ dalam hidupnya, Aliff berkata, setiap manusia wajar diberikan peluang. Sama seperti dirinya yang berusaha untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik.

Enggan berubah secara mendadak, perlahan-lahan Aliff mencari titik permulaan untuk berubah dengan memasang niat membuang tatu yang dicacah pada badannya.

Perubahan diri

“Saya mengaku telah banyak melakukan perkara yang cukup disesali pada masa lalu. Oleh itu, saya cuba mengenal pasti apa yang boleh dilakukan untuk berubah menjadi lebih baik.

“Semua insan yang bergelar manusia ada silap masing-masing. Begitu juga dengan diri saya yang pernah melalui satu fasa terburuk dalam hidup,” ujar pelantun lagu Amarah Cinta itu.

MENCARI ruang untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik daripada sebelumnya, kini fokus dan keutamaan Aliff mahu diberikan sepenuhnya kepada keluarga tercinta.

Katanya lagi, tindakan membuang tatu pada badannya merupakan niat sendiri dan langsung tidak dipengaruhi atau dipaksa oleh mana-mana pihak.

“Memang benar dalam agama ada kata, kalau benda itu memudaratkan, kita tak perlu lakukannya. Tetapi ini adalah usaha saya dan bukan nak membuktikan kepada sesiapa pun.

“Jadi saya cuba buat apa yang boleh dilakukan dalam usaha untuk berubah,” jelasnya meminta pengertian.

Begitu juga dengan Bella, 27, dia mengakui pengalaman lalu menjadikan dia dan suami menjadi lebih matang. Dulu, emosi sering bermaharajalela dalam diri, namun kini mereka lebih banyak berdoa untuk ke arah kebaikan.

BAGI Bella, tiada apa yang lebih indah apabila dapat meraikan Ramadan dan Syawal bersama suami tercinta di sisi.

“Dulu kalau menegur mesti akan berakhir dengan pertengkaran. Alhamdulillah, sekarang rasa lebih tenang berbanding dahulu.

“Bagi saya, suami isteri kena ada komunikasi berkesan supaya tidak berbincang menggunakan emosi,” katanya sambil memohon doa supaya rumah tangganya bersama suami kekal harmoni dan bahagia sampai bila-bila.

Aidilfitri

Bakal meraikan kedatangan Syawal tidak lama lagi, Aliff mahu pun Bella, masing-masing mengakui rindu dengan kampung halaman masing-masing.

Bella mengakui dia teringin pulang ke kampung halaman di Sandakan, Sabah bagi menjenguk datuk dan neneknya yang tinggal di sana.

“Memang saya teringin sangat nak balik Sabah. Tapi saya takut jadi seperti tahun lalu apabila tiket kapal terbang sudah dibeli, tetapi tidak dapat pulang kerana Covid-19.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ibu dan bapa tinggal bersama saya di sini. Cuma masalahnya, perasaan rindu sangat menebal terhadap datuk dan nenek yang berada jauh di kampung,” luah Bella menyuarakan kesedihan.

KERINDUAN Bella untuk pulang ke kampung halaman bagi menjenguk datuk dan neneknya di sana menggunung, namun dia bersyukur kerana kedua ibu bapanya kini menetap bersama di ibu kota.

Berbeza pula dengan Aliff, walaupun keluarganya berada di Singapura, namun dia tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia dapat bersama dua orang cahaya mata kesayangannya iaitu Muhammad Ayden Adrian dan Ara Adreanna meraikan lebaran tahun ini.

“Semua orang teringin nak pulang ke kampung menjenguk orang tua. Namun dalam keadaan sekarang, masing-masing perlu beri kerjasama untuk putuskan rantaian Covid-19.

“Malah ibu saya sendiri di Singapura masih belum bertemu Ara sehingga kini,” katanya.

Mengharapkan bahagia hidup mereka sekeluarga berkekalan, Aliff dan Bella berterima kasih kepada orang-orang di sekeliling kerana banyak memberikan sokongan selama ini.

“Alhamdulilah sejak saya pulang, ramai yang memberi sokongan terutamanya keluarga dan rakan-rakan. Saya juga gembira kerana akhirnya dapat juga berjumpa dengan rakan-rakan media selepas sekian lama,” ujar Aliff sambil tersenyum manis memandang wajah isterinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI