fbpx

Peristiwa 13 Mei bukti kepentingan perpaduan dalam masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyeru semua rakyat untuk semarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan Bulan Kebangsaan 2023.

Kata Fahmi, tanpa perpaduan, negara boleh menjadi lemah sehingga mengakibatkan berlaku pertikaian kaum dan huru-hara.

“Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan pengajaran kepada rakyat Malaysia bahawa betapa pentingnya perpaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum.

“Marilah kita bertekad untuk menjauhi daripada segala tingkah laku yang boleh membawa kepada perpecahan, perselisihan faham dan perasaan curiga antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr. Ismail Al-Haj – Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Allahyarham Dr. Ismail merupakan seorang tokoh luar biasa dalam sejarah negara.

Katanya, Allahyarham telah memberi sumbangan yang besar khususnya dalam menuntut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu selain berperanan memulihkan hubungan antara kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969.

“Beliau seorang pemimpin yang gigih dan tegas dalam memperjuangkan perpaduan. Dedikasi dan sumbangannya amat signifikan dalam membangunkan tanah air.

“Sempena sambutan hari ini, pengunjung berpeluang memahami dan menghayati perjuangan Tun Dr. Ismail melalui pameran yang diadakan oleh Arkib Negara Malaysia,” ujarnya.

Justeru, Fahmi berharap program tersebut dapat memberi kefahaman kepada masyarakat terutama golongan muda tentang penat lelah dan usaha pemimpin terdahulu dalam mengekalkan keharmonian negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI