fbpx

Quentin isi posisi Syahmi tanpa tekanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QUENTIN menegaskan bahawa tiada tekanan buatnya apabila mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Syahmi bagi menguatkan benteng pertahanan Selangor FC.

TONGGAK pertahanan Sela­ngor FC, Quentin Cheng mengakui tidak tertekan meskipun bakal diberi peranan posisi bek kanan utama pasukan menjelang aksi pembuka tirai Liga Super menentang Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam esok.

Sebagai rekod, posisi pertahanan kanan pasukan Gergasi Merah sebelum ini menjadi milik Syahmi Safari sebelum pemain kebangsaan itu mengambil keputusan berhijrah ke kelab juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) awal tahun ini.

Kini, Quentin mungkin akan diberi tugas oleh ketua jurulatih, Michael Feichtenbeiner untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Syahmi bagi menguatkan benteng pertahanan pasukan.

Kata Quentin, keputusan untuk berada dalam kesebelasan utama atau tidak terletak sepenuhnya kepada jurulatih, selain percaya dirinya memiliki kualiti berbeza dengan apa yang Syahmi tawarkan sebelum ini.

“Saya pasti jurulatih tahu kemampuan yang saya miliki dan jika diberi peluang, sudah tentu saya akan beraksi tanpa sebarang tekanan walaupun kita tahu Syahmi memiliki pengaruh dalam pasukan Selangor sebelum ini.

“Secara jujur, saya dengan Syahmi merupakan pemain berbeza dan kualiti yang ada pada saya sudah tentulah kemampuan membantu jentera serangan selain keupayaan melakukan hantaran lebih tepat,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Sebagai rekod, Quentin telah bersama pasukan Selangor sejak musim 2020 tetapi bakatnya mula menyerlah pada tahun lalu selepas dipinjamkan ke kelab Penang FC dengan menjadi pemain bek kanan utama pasukan itu.

Me­ngulas mengenai harapan peri­badinya, pemain berusia 23 tahun itu sudah tentu berhasrat untuk membantu pasukan mencapai sasaran untuk meraih slot ke kejohanan Asia pada tahun depan.

“Selain mahu beraksi pada setiap perlawanan seperti yang dilakukan bersama Penang FC tahun lepas, saya mahu memastikan pasukan dapat mencapai sasaran ditetapkan oleh pihak pengurusan selain berusaha menjulang trofi musim ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI