Zulfahmi, 26, berkata kepakaran serta pengalaman luas dimiliki ketua jurutera, Fausto Bencivenni Pons amat ditagih bagi memantapkan persediaan pasukan menjelang perlumbaan pertama di Grand Prix (GP) Qatar, pertengahan Mac ini.

Meskipun menyedari bakal bersaing dengan barisan pelumba terbaik dunia, Zulfahmi yang sebelum ini pernah berlumba dalam kelas Moto3, menyifatkan ia satu cabaran perlu ditempuh setiap pelumba dalam meniti kejayaan.

"Saya yakin pasukan ini mempunyai barisan jurutera dan mekanik terbaik, selain jentera yang hebat untuk bersaing bagi mendapatkan keputusan yang baik di penghujung musim ini. Jadi saya amat berterima kasih di atas peluang diberikan.

"Selepas ditawarkan peluang berlumba bersama SIC Racing Team, saya rasa ini satu peluang keemasan yang tidak patut saya lepaskan dan saya sahut cabaran ini untuk berlumba di Moto2 pada tahun ini," katanya kepada pemberita pada sesi memperkenalkan pelumba dan jentera baharu SIC Racing Team di sini hari ini. - Bernama