Laporan polis itu dilakukan sendiri oleh Zakir di Balai Polis Seksyen 6 di sini pukul 11.48 pagi tadi.

Menurut sumber, Zakir turut menamakan empat lagi individu lain iaitu Timbalan Ketua Menteri II Penang, Dr. P. Ramasamy; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago ; Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam, M. Satees dan bekas duta besar Dennis J. Ignatius.

Katanya, Zakir yang merupakan penduduk tetap negara ini mendakwa kenyataan fitnah itu dilakukan kelima-lima individu tersebut menerusi media sosial dan artikel mereka berdasarkan ucapan Zakir di Kota Bharu, Kelantan pada Khamis minggu lalu.

"Kenyataan media dan artikel (lima individu itu) telah memutarbelitkan mengelirukan masyarakat terhadap niat sebenar syarahan Zakir dalam menyebarkan dakwah, keamanan dan keharmonian di antara rakyat.

"Penceramah tersebut juga mendakwa mereka itu telah salah memetik beliau di luar konteks dalam jawapan terhadap salah satu soalan yang diajukan selepas syarahannya mengenai topik 'Salah fahaman tentang Islam'.

"Justeru, Zakir mendakwa kelima-lima individu yang dinamakan tersebut telah memanipulasi syarahan dan menuduhnya demi kepentingan agenda politik mereka sendiri," katanya.

Sumber sama turut memaklumkan, Zakir dalam laporan polisnya itu menyatakan memuji Malaysia dalam syarahannya kerana mengamalkan cara Islam yang sebenar dalam melayani masyarakat minoriti Hindu dan menegakkan hak mereka berbanding kerajaan negara India yang gagal melakukan perkara sedemikian.

Tambah sumber itu, kenyataan fitnah itu merosakkan reputasi dan kredibiliti Zakir di kalangan masyarakat.

"Tuduhan dan hasutan tidak berasas itu menurut Zakir telah mewujudkan ketidakharmonian dalam masyarakat dan mencetuskan perbalahan di kalangan rakyat Malaysia yang aman," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan menerima laporan tersebut.

"Laporan itu akan dirujuk ke Balai Polis Presint 11, Putrajaya," jelasnya. - K! ONLINE