Zaharah hadir pada Majlis Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia di hadapan Datuk Su Geok Yiam, Hakim Kanan bagi Mahkamah Tinggi Malaya di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah memperkenan pelantikan Zaharah sebagai Hakim Besar Malaya berkuat kuasa 11 Julai lalu.

Zaharah menggantikan tempat Tan Sri Ahmad Maarop yang kini memegang jawatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Pelantikan itu menyaksikan Zaharah sebagai hakim wanita kedua yang menyandang jawatan tersebut selepas Tan Sri Siti Norma Yaakob yang berkhidmat sebagai Hakim Besar Malaya mulai 2005 hingga 2007.

Zaharah dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada 17 November 1952. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar Pontian, Johor.

Zaharah kemudiannya meneruskan pengajian di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru sehingga tamat tingkatan enam.

Beliau menyambung pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) pada tahun 1977.

Karier awal Zaharah dalam bidang perundangan bermula pada 26 April 1977 sebagai Pegawai Undang-Undang (Sangkut). Beliau kemudiannya dilantik dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dan menjawat jawatan Majistret Melaka Tengah dan Majistret Litar di Alor Gajah, Jasin, Masjid Tanah dan Merlimau, Melaka.

Mulai 1 Januari 1981 hingga 15 Februari 1992, beliau dilantik sebagai Penolong Kanan Penggubal Undang-Undang Parlimen di Seksyen Bahasa Inggeris dan Seksyen Bahasa Kebangsaan di Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara.

Pada 1 Ogos 2004, Zaharah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya dan telah memulakan perkhidmatan sebagai Hakim Mahkamah Atasan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Beliau dilantik menjawat jawatan Hakim Mahkamah Rayuan pada 14 April 2010. Zaharah kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 16 Februari 2015 sebelum secara rasmi dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 11 Julai lalu. - K! ONLINE