Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun berkata, pihaknya hanya memiliki satu bidang tanah saja daripada keseluruhan 64 tanah yang didakwa dibeli daripada DBKL.

Katanya, YWP yakin tidak melakukan sebarang kesalahan memandangkan pembelian hartanah itu dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan undang-undang selain dibeli berdasarkan harga pasaran tanpa sebarang diskaun.

“Berdasarkan kepada pertuduhan dibuat Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bahawa YWP membeli 64 bidang tanah daripada DBKL, kami menegaskan hanya memiliki satu bidang tanah sahaja.

“Baki tanah lain yang didakwa tiada kena mengena dengan YWP. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjumpa YWP dengan cara yang baik untuk siasatan dan terserah kepada SPRM untuk menjelaskan kedudukannya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Akhbar Kosmo! pada 17 Mei lalu melaporkan, Lip Eng meminta SPRM untuk menyiasat bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung penjualan 64 lot tanah oleh DBKL.

Dalam laporan itu, Lip Eng mendakwa, pihaknya mendapati penjualan tanah tersebut telah berlaku sejak dari tahun 2013 hingga 2018 melibatkan lot tanah berkeluasan 171 hektar kepada sebuah yayasan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan bekas menteri tersebut. - K! ONLINE