Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia penting bagi mengelak lebihan makanan seperti sayuran dan roti yang masih elok berakhir di tempat pembuangan sampah.

"Selepas setahun program Bank Makanan Mutiara dijalankan di Pulau Pinang, saya dapati aspek yang tiada dalam program ini adalah undang-undang dalam menguruskan lebihan makanan daripada hotel, restoran dan pasar raya.

"Jika ada undang-undang, kita boleh mengawal, mengarahkan atau menggalakkan premis yang mempunyai lebihan makanan agar mengagihkan kepada golongan yang memerlukan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.  

Beliau berkata, cadangan pelaksanaan akta itu juga tidak boleh bersifat menghukum tetapi sebaliknya galakan yang tetap kepada kepatuhan undang-undang. 

"Kita akan beri kuasa ini kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan premis perniagaan makanan perlu memaklumkan kepada PBT untuk membolehkan agihan lebihan makanan dapat dilakukan terlebih dahulu sebelum pelupusan makanan dilakukan.

"Secara tidak langsung, kaedah ini mampu membantu golongan fakir miskin dengan menjimatkan perbelanjaan makanan mereka kerana setakat ini, ia telah mengurangkan beban lebih 17,000 asnaf di Pulau Pinang," katanya. 

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution yang juga peneraju Bank Makanan Mutiara akan memasukkan rumah amal dan kebajikan sebagai kumpulan sasaran agihan makanan ke dalam program tersebut.  

"Kita lihat ada keperluan untuk membantu kumpulan ini yang mana kos operasi mereka mencecah RM15,000 sebulan dengan perbelanjaan terbesar adalah untuk makanan," katanya.  

Menyentuh mengenai sumber agihan makanan, beliau tidak bimbang kerana beberapa restoran dan pasar raya seperti Tesco terlibat dalam proses ini setiap hari.  

"Sumber dah ada, cuma kita hanya perlu alihkan agihan secara sistematik dan seimbang dari Pulau Pinang ke sini dan saya yakin perkara itu tidak ada masalah," katanya.- Bernama