Bagaimanapun, Leong berkata setakat ini, tiada perbincangan antara beliau dan Anwar mengenai perkara itu. 

"Kalau diminta, saya sanggup (mengosongkan kerusi) dan saya fikir semua Anggota Parlimen PKR juga akan beri laluan kepada Datuk Seri Anwar," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.  

Ditanya sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) hanya dianggap sebagai 'barang mainan' Pakatan Harapan, Leong menafikan perkara tersebut.  

"PRK ini bukan satu permainan. Apa yang kita tahu, Datuk Seri Anwar ialah mangsa politik. Mengapa kita tak beri peluang kepadanya (Anwar)?

"Kita bukan tidak menghormati keputusan pengundi. Kita semua bertanding atas lambang sama iaitu PKR," katanya.

Kelmarin, Anwar secara tidak rasmi menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR selepas tiada individu lain menghantar borang pencalonan untuk mencabar beliau pada pemilihan PKR 2018.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar menegaskan tidak akan melepaskan kerusi masing-masing di Parlimen Pandan dan Permatang Pauh. - Bernama