Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud berkata, mereka yang ingin mendapatkan servis berkenaan harus mengikuti saluran yang betul iaitu perkhidmatan golongan profesional dan bukannya individu tidak bertauliah.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah merekodkan lima kes pemasangan pendakap gigi secara haram yang dijalankan oleh orang awam sejak tahun 2015.

"Agensi berkaitan sentiasa memberi perhatian serius terhadap kes sedemikian dan kita juga mengharapkan aduan orang awam jika mereka melihat sebarang bentuk tawaran pemasangan pendakap gigi oleh individu tidak bertauliah di laman-laman sosial.

"Mereka yang mendapatkan khidmat daripada individu yang tidak diiktiraf mempunyai risiko tinggi terdedah kepada jangkitan kuman, ulser mulut, bengkak gusi selain pergerakan gigi yang luar biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kesihatan Pergigian Warga Emas peringkat Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini. - K! ONLINE