Mangsa berusia 33 tahun telah ke rumah suspek untuk memungut hutang pembelian enjin generator yang dilakukan pada tahun 2015 cedera dengan kesan tikaman pada bahagian belakang.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa yang keseorangan turut dipukul sehingga mengalami kecederaan bengkak dan calar pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Labuan, Muhamad Farid Ahmad yang mengesahkan kejadian berkata, suspek diberkas kira-kira sejam selepas kejadian berlaku.

"Suspek rakyat tempatan telah menyerang mangsa menggunakan sebilah parang sepanjang 48 sentimeter dan bertindak menikam pada bahagian belakang lelaki itu.

"Suspek juga membuang barang bukti berhampiran kediamannya sebelum ditemui pasukan polis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhamad Farid, mangsa yang menerima rawatan di Hospital Nukleus di sini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Tambahnya, suspek ditahan pada pukul 11.40 pagi dan parang tersebut dirampas untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE