Tertuduh, Petronis Augustinas membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret A.Akhiruddin @ Boy Acho.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang kini bekerja dan menetap di London itu telah melakukan ugutan jenayah dengan niat untuk menyebabkan kematian kepada kru penerbangan.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di dalam penerbangan Oman Air dari Muscat, Oman ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpun (KLIA) kira-kira pukul 5.30 pagi pada 19 Mei lalu.

Augustinas didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah menggunakan kata-kata yang mengancam, kesat atau menghina terhadap kru penerbangan pada lokasi, masa dan waktu yang sama.

Tertuduh didakwa di bawah Peraturan 102, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 yang boleh dihukum mengikut mengikut Peraturan 206 (2)(A).

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Nasharina Nazlan manakala tertuduh diwakili oleh peguambela Zaflee Pakwanteh.

Terdahulu, Nasharina memohon hukuman penjara ekoran tertuduh melakukan kesalahan yang berat terhadap kru penerbangan dengan mengeluarkan ugutan bunuh.

Zaflee bagaimanapun dalam rayuannya meminta mahkamah menetapkan hanya hukuman denda terhadap anak guamnya.

“Augustinas mengaku bahawa dia mabuk sewaktu kejadian dan tidak ingat sebarang insiden yang berlaku di dalam pesawat itu.

“Justeru, saya memohon agar mahkamah menetapkan hukuman denda terhadap tertuduh,” katanya.

A.Akhiruddin menetapkan hukuman denda  sebanyak RM6,000 untuk setiap pertuduhan atau penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah. - K! ONLINE