Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata lelaki itu ditahan di Sandakan, Sabah  bersama  empat individu lain masing-masing dua warga tempatan dan Filipina dalam tangkapan yang dilakukan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman pada 25 dan 26 Januari lepas.

Menurutnya, lelaki berusia 39 tahun itu pernah berbai'ah taat setia di hadapan pemimpin kanan kumpulan pengganas di selatan Filipina pada 2000.

"Suspek juga menerima arahan daripada seorang pemimpin kanan kumpulan pengganas Daesh di selatan  Filipina untuk menguruskan kemasukan beberapa anggota pengganas Daesh dari Sandakan ke negara itu untuk menyertai kumpulan pengganas di Zamboanga, selatan Filipina," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Katanya, empat lagi suspek berusia antara 33 hingga 50 tahun yang ditahan bertanggungjawab dalam membantu suspek pertama dalam menguruskan kemasukkan anggota pengganas asing ke selatan  Filipina  dengan menjadikan Sandakan sebagai transit.

Menurutnya, dua daripada lima suspek berkenaan bekerja sebagai buruh manakala seorang pengurup wang tidak berlesen, seorang pemandu bot penumpang dan penganggur. 

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata tiga lelaki warga Filipina dan seorang wanita tempatan ditahan di Penampang, Sabah pada 4 Februari lepas.

"Kesemua  suspek berusia antara 27 hingga 32 tahun dan bekerja sebagai tukang kebun, buruh, pegawai keselamatan sebuah syarikat swasta dan seorang penganggur," katanya. 

Menurutnya, suspek lelaki yang berusia 27 tahun merupakan anggota kanan kepada pemimpin Abu Sayyaf  Group (ASG) yang berpangkalan di Basilan, selatan Filipina.

Manakala  seorang lagi suspek  lelaki  berusia 32 tahun  dipercayai terlibat mengatur  kemasukan  seorang  warga asing ke selatan Filipina bagi menyertai kumpulan pengganas Daesh, katanya. - Bernama