Mangsa, Tengku Mohammad Tengku Abas, 61, yang berasal dari Kampung Jerangau Barat, dekat sini dikatakan tersesat selepas keluar memancing bersama seorang rakannya dan gagal mencari jalan pulang berikutan hari sudah mulai gelap.

Kira-kira 15 jam selepas dilaporkan sesat, warga emas itu kemudiannya berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh seorang anggota polis serta orang awam yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa. 

Menceritakan kembali pengalaman tersebut, Tengku Mohamad berkata, dia bersama seorang rakan pergi memancing ikan berhampiran kawasan hutan itu kira-kira pukul 4 petang semalam.

"Pada pukul 7 malam, rakan saya mengajak untuk pulang ke rumah namun disebabkan umpan kail baru sahaja mengena, saya tidak perasan rupanya dia telah berjalan keluar terlebih dahulu.

"Disebabkan hari sudah semakin gelap dan jarak penglihatan terhad, akhirnya saya terpaksa bermalam di tepi sungai dan berhadapan dengan detik paling mencemaskan iaitu terserempak dengan seekor anak gajah," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE