Antara penambahbaikan yang diperkenalkan pada PRK kali ini adalah menambah jumlah saluran mengundi, menambah petak mengundi dan melanjutkan tempoh masa mengundi dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

Menurut seorang warga emas, Mohd. Isa Jamil berkata, penambahan petak mengundi di dalam dewan mengundi amat membantu kelancaran proses pengundian di dalam dewan dan dia tidak perlu menunggu lama untuk membuang undi.

"Hari ini ada tiga petak untuk mengundi dan tiga orang boleh masuk mengundi pada satu masa. Ramai pengundi tidak payah tunggu lama untuk masuk mengundi.

"Kalau sebelum ini (Pilihan Raya Umum ke-14) ada dua petak sahaja lagi lama kena tunggu, kali ini tidak sampai lima minit saya beratur di luar dan terus dapat giliran untuk mengundi,"katanya ketika ditemui di Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis, Kampung Sungai Kandis di sini hari ini.

Sementara itu, bagi seorang lagi warga emas, Zaharah Kasan, 79, berkata, meskipun tinggal bersama anaknya di Sijangkang, dia tidak melepaskan peluang untuk keluar mengundi pada hari ini.

"Anak yang bawa mak cik datang mengundi hari ini. Biasa sebelum ini mesti kami kena tunggu lama lebih daripada sejam.

"Tetapi kali ini tidak sampai setengah jam semua urusan selesai kerana SPR menyediakan lebih banyak saluran mengundi dan petak untuk mengundi pada PRK kali ini," ujarnya. -K! ONLINE