Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil pemeriksaan terhadap sebuah syarikat telah menemui beberapa dokumen dan permohonan yang tidak teratur dikenalpasti. 

Jelas beliau, syarikat tersebut mempunyai beberapa anak syarikat yang mempunyai kelulusan untuk menjalankan 'Program Rehiring' tetapi kelulusan tersebut disalahgunakan dengan menyelitkan beberapa syarikat sebagai anak syarikat yang pengurusnya merupakan warganegara Bangladesh.

“Hasil semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga mendapati terdapat warganegara asing yang hanya menggunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) menjadi ahli lembaga pengarah atau rakan kongsi beberapa syarikat itu. 

“Selain itu, perjanjian dokumen antara syarikat ini dengan beberapa syarikat yang lain (pemilik tengah, kilang dan sebagainya) diragui. Semakan keatas semua syarikat ini juga mendapati syarikat-syarikat ini memohon jumlah pekerja asing yang terlalu banyak bagi kuota pekerja asing melalui 'Program Rehiring' dengan dokumen-dokumen yang diragui, ” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini. 

Jelas Mustafar, pihaknya turut merampas beberapa dokumen sokongan termasuk 98 naskah pasport warganegara Bangladesh dan Indonesia serta wang tunai berjumlah hampir RM250, 000 yang disyaki merupakan hasil kutipan untuk pemeriksaan kesihatan, levi, Bayaran Pas Sosial, Permohonan PLKS termasuk bayaran perkhidmatan kepada syarikat untuk menguruskan permohonan di bawah 'Program Rehiring'.   

Ujarnya, seramai dua wanita warganegara Malaysia yang merupakan pengurus dan pembantu pengurus ditahan untuk tujuan siasatan.

Turut ditahan seramai 11 lelaki warganegara Bangladesh yang berada di dalam pejabat semasa serbuan dilakukan.

“Selain itu, dua lelaki warganegara Bangladesh yang merupakan pengarah syarikat dan anaknya yang bertindak sebagai ‘transporter’ bagi menguruskan warganegara asing ini untuk menjalani proses pemeriksaan kesihatan juga ditahan bagi membantu saisatan.

“Turut ditahan ialah seorang lelaki warganegara Malaysia yang hadir di pejabat dan memperkenalkan diri sebagai agen yang menempatkan 68 lelaki warganegara asing di sebuah rumah transit sebelum menghantar mereka ke beberapa syarikat dan juga kilang yang memerlukan tenaga kerja warganegara asing, ” jelas beliau. 

Kesemua tahanan tersebut akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan susulan. 

Pada 1 Julai lalu, Jabatan Imigresen memulakan operasi khas menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas Program Program Rehiring yang tamat jam 12 malam pada 31 Mei lalu. 

Program Rehiring adalah susulan tempoh sah laku program E-Kad yang bertujuan membolehkan Pati dan majikan mendapatkan dokumen perjalanan atau pasport di kedutaan bagi tujuan Rehiring, tamat pada 15 Februari lalu.

Seramai 744,942 PATI telah mendaftar Rehiring dan 83,919 adalah majikan.

Dalam pada itu, Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen yang mengadakan Ops Mega 3.0 telah berjaya menahan seramai 68 lelaki warganegara asing yang terdiri daripada 66 lelaki warganegara Bangladesh dan dua lelaki warganegara India yang baru masuk ke Malaysia tidak lebih dari satu bulan bagi tujuan mendapatkan pekerjaan.

Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. - K! ONLINE