Dalam kejadian kira-kira pada pukul 10 pagi itu, mangsa warga Kemboja berusia 25 tahun itu dipercayai mempunyai perselisihan faham dengan mertua majikannya. 

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Khairuddin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.09 pagi sebelum sepasukan lima anggota bergegas ke tempat kejadian. 

“Tiba di lokasi, wanita tersebut berada di hujung balkoni tingkat 8 bangunan itu untuk terjun ke bawah bagi membunuh diri.

“Anggota bergegas menaiki lif ke rumah berkenaan namun mangsa berjaya dipujuk untuk turun dari balkoni sebelum diselamatkan pihak polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Khairuddin, mangsa bagaimanapun mengalami trauma dan masih meronta walaupun telah diselamatkan. 

“Anggota membantu menenangkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis kerana dia masih berkelakuan agresif. 

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.03 pagi,” katanya. - K! ONLINE