Mangsa, Kau Fu Eng, 71, ditemui terbaring di atas katil dalam sebuah bilik oleh anak perempuan dan cucunya kira-kira pukul 5.45 petang ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al-Athrash Wahid berkata, mangsa diserang oleh penyamun yang disyaki masuk ke dalam rumah dari pintu belakang yang dipercayai tidak berkunci.

"Suspek mungkin bertindak menjerut leher dan menutup mulut mangsa selepas mangsa menjerit," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian sebentar tadi.

Kata beliau, semasa kejadian mangsa berada di rumah itu bersendirian kerana anak perempuannya menghantar cucu ke tuisyen sejak pukul 2 petang ini.

"Kejadian hanya disedari anak perempuannya itu selepas menemui mangsa terbaring tidak sedarkan diri di dalam bilik yang berselerak hampir empat jam kemudian," ujarnya.

Tambahnya, siasatan mendapati barang kemas bernilai RM10,000, sebuah tablet dan beberapa utas jam tangan hilang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. - K! ONLINE