Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pusat gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya menerima panggilan daripada seorang lelaki kira-kira pukul 2 petang memaklumkan ibu saudaranya telah diragut di hadapan rumahnya.

“Sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian dan melakukan siasatan berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang berada di kawasan berdekatan.

“Berdasarkan rakaman CCTV itu, wanita berusia 69 tahun itu didatangi seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna hitam dari arah belakang dan terus meragut rantai emas di lehernya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamzah menambah, akibat kejadian tersebut mangsa mengalami kcederaan di muka dan kepalanya serta kerugian kira-kira RM1,200. 

“Polis pada masa kini sedang giat mengesan suspek berdasarkan rakaman CCTV dan kenyataan mangsa.

“Mana-mana orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan kes berkenaan,” ujarnya,

Dalam sebuah video berdurasi tiga saat yang tular di laman Facebook hari ini menunjukkan seorang wanita warga emas diragut secara direntap rantai emas dilehernya oleh seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna hitam.

Akibat rentapan itu, wanita tersebut terbaring di jalan sebelum dibantu oleh orang awam yang berada di kawasan sekitar dan suspek itu berjaya melarikan diri. - K! ONLINE