Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, mayat bayi tersebut ditemui kira-kira pukul 3 petang selepas wanita berkenaan terlihat segumpal kain yang dipenuhi darah di sebelah tong sampah.

"Wanita berkenaan kemudiannya mengangkat gumpalan kain tersebut sebelum menyedari terdapat mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat serta beruri berada di dalamnya.

"Individu yang bertanggungjawab meletakkan mayat bayi berkenaan di situ masih belum dapat dikenalpasti dan wanita berkenaan juga tidak melihat sesiapa yang disyaki," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Menurut Noor Azmi, mayat bayi lelaki tersebut berkulit putih kemerahan namun pihaknya belum dapat menentukan identiti serta bangsanya.

"Pemeriksaan yang dilakukan tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau luka dan mayat bayi berkenaan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan," tegas beliau. - K! ONLINE