Seorang suri rumah, Akmariahton Suboh, 45, berkata, anak saudaranya Nur Mahirah Syafie, 22, memakai baju berlengan panjang putih kuning, berseluar biru dan memakai tudung berwarna kuning ketika dilaporkan hilang.

"Lebih membimbangkan anak saudaranya itu yang digelar sebagai Mirah dalam kalangan keluarga turut mengalami masalah mental dan perlu bergantung kepada ubat-ubatan,"kata Akmariahton pada sidang akhbar di Pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional Melaka (Pembela BN) di sini hari ini.

"Sebenarnya, Mirah baru sahaja empat hari dihantar ke pusat pengajian al-Quran itu. Guru agama di situ memaklumkan bahawa dia meminta kebenaran untuk ke kedai berdekatan namun tidak muncul selepas itu," katanya.

Akmariahton yang tinggal di Ramuan China Besar, Masjid Tanah berkata, Nur Mahirah mengalami kemurungan sejak kematian bapanya tujuh tahun lepas dan ibunya pada tahun 2015.

"Saya bimbang sekiranya terjadi perkara buruk memandangkan dia tidak pandai menguruskan diri sendiri apatah lagi seorang wanita. Saya cuma mahu dia segera ditemui dan pulang dengan selamat," katanya yang sudah membuat laporan polis di Balai Polis Masjid Tanah.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menjumpai Nur Mahirah, diminta menghubungi talian 017- 643 3272 ataupun menerusi talian hotline Pembela BN di 1-300-22-2352. - Bernama