Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau amat sedih dan bimbang mendengar berita mengenai taufan tersebut yang mengakibatkan kecederaan dan ribuan rumah terputus bekalan elektrik.

"Berita ini lebih dahsyat selepas sekurang-kurangnya 65 orang maut akibat gelombang kepanasan yang teruk melanda negara itu beberapa hari sebelum ini.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin mengucapkan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa dan keluarga yang terjejas. Malaysia berada bersama Jepun dalam keadaan sukar ini dan bersedia menghulurkan apa-apa bantuan yang jika memerlukan, " katanya menerusi catatan dalam laman Twitter beliau malam ini.

Timbalan Perdana Menteri itu turut berdoa untuk kekuatan bagi mereka yang terjejas dan berharap kawasan-kawasan yang dilanda taufan itu akan pulih secepat mungkin.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 24 orang cedera apabila taufan membadai  wilayah tengah dan barat negara itu.

Sebelum gelombang panas mulai bulan lalu hingga pertengahan bulan ini, hujan lebat menyebabkan banjir dan aliran lumpur di barat daya Jepun menyebabkan 225 orang terkorban. - Bernama