Wan Azizah yang juga presiden PKR berkata, ini berikutan peratusan keluar mengundi sehingga tengah hari ini hanya mencapai 31 peratus.

"Saya difahamkan kehadiran pengundi setakat pukul 1 tengah hari hanya mencapai 31 peratus.

"Cuaca diramalkan hujan pada sebelah petang. Saya merayu supaya pengundi turun menunaikan tanggungjawab segera," katanya menerusi Twitter hari ini.

SPR sebelum ini menyasarkan 80 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

PRK itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni dengan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy. - Bernama