Dr. Wan Azizah yang diiringi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan pertemuan kira-kira sejam dengan Hsien Loong dan isterinya, Ho Ching.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Dr. Wan Azizah berkata ia merupakan satu penghormatan untuk bertemu Hsien Loong dan isterinya dan bahawa pertemuan itu merupakan pertemuan  yang "baik".

"Perbincangan turut menekankan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura sebagai negara berjiran di rantau ini," katanya.

Terdahulu,  Hsien Loong mengunjungi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, pertemuan pertama mereka selepas Dr. Mahathir kembali menerajui negara susulan kemenangan Pakatan Harapan pimpinannya dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

Sementara itu,  Anwar berkata, beliau berbesar hati dapat bertemu Hsien Loong yang sudah dikenalinya semasa beliau menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri dahulu.

"Bagi saya, amat berbesar hati dapat bertemu dengan Hsien Loong. Pada asasnya kami percaya akan hubungan dua hala yang lebih erat dengan Singapura berikutan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menegaskan perkara ini," katanya.- Bernama