Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir dalam kenyataan di sini, hari ini berkata selain undi majoriti PH merosot sekitar lapan peratus, Pas juga kali ini menang di empat Unit Peti Undi (UPU) berbanding tidak ada satu pun dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

"Selain itu, berdasarkan keputusan di peringkat saluran, Pas kembali memenangi keyakinan anak-anak muda khasnya dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu," kata Roslan Shahir.

Tambahnya lagi, kerjasama Pas dan UMNO bagi PRK DUN Seri Setia adalah strategi politik baru yang berkesan dan perlu terus diterokai memandangkan ia diterima baik oleh masyarakat.

Sementara itu, dalam kenyataan lain, Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehin Mukhyi berkata kerjasama Pas dan parti komponen Barisan Nasional (UMNO, MIC, dan MCA) bagi PRK DUN itu merupakan lembaran baharu dalam arena politik negara melalui blok pembangkang.

Dalam PRK itu calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar memperoleh 13,725 undi  sementara  calon Pas Dr Halimah memperoleh 9,698 undi. PH memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,027 undi.

Seri Setia mempunyai 53,492 pengundi tetapi hanya 44.1 peratus daripada pengundi keluar mengundi semalam. - Bernama