Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, kes jangkitan HFMD ini menunjukkan peningkatan pada awal Mei lalu di minggu ke-17 sehingga minggu ke-21 dengan merekodkan kira-kira 600 jangkitan seminggu di seluruh negeri.

"Namun angka berkenaan kini telah turun kepada kira-kira 300 kes jangkitan seminggu selepas itu sehingga minggu lepas namun ia masih lagi ditahap berjaga-jaga," katanya pada Sidang Akhbar Berhubung Wabak HFMD dan Denggi di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.

Siti Mariah berkata, sebanyak 9,300 kes HFMD dicatatkan di Selangor sejak Januari sehingga minggu lalu dengan golongan kanak-kanak berusia bawah enam tahun merupakan golongan yang paling banyak menerima jangkitan berkenaan iaitu sebanyak 8,501 kes.

Katanya, sebanyak 568 kes bagi yang berusia tujuh tahun hingga 12 tahun dan 231 kes untuk 12 tahun ke atas.

Justeru katanya, ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil untuk tidak membawa anak-anak ke kawasan orang ramai seperti pusat beli-belah dan pasar malam yang berisiko mempunyai pembawa virus HFMD.

"Virus HFMD yang dikenali dengan penyakit Coxsackie dan sejenis lagi virus boleh menyebabkan jangkitan kepada bayi dan kanak-kanak akibat terdedah pada kuman yang ada pada susur tangan di pusat beli-belah.

"Saya menasihatkan ibu bapa untuk tidak keluar ke kawasan orang ramai terutama ibu muda yang kebosanan di rumah buat masa ini kerana sekarang trend wabak HFMD sedang meningkat," katanya. - K! ONLINE