Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf berkata, TH hanya mengendalikan 30,200 jemaah serta visa haji yang diperolehi secara rasmi mengikut jumlah kuota yang diberi kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia.

"Bagi agensi-agensi pelancongan pula, TH hanya menguruskan syarikat yang diiktiraf TH serta mendapat lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH).

“TH juga tidak dibenarkan untuk menguruskan jemaah haji Furada serta yang menunaikan haji melalui syarikat yang tidak mempunyai lesen PJH," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Visa Furada adalah visa haji yang diperoleh dengan berurusan secara terus dengan Kedutaan Arab Saudi dan tidak membabitkan kuota haji sesebuah negara.

Ia biasanya diberikan pada saat-saat akhir berdasarkan kekosongan yang ada.

Bagaimanapun, Mujahid menjelaskan untuk kes-kes tertentu seperti 26 warganegara Malaysia yang terkandas di Jeddah, TH melalui pegawai-pegawainya tetap menghulurkan bantuan dan menjaga kebajikan mereka dengan memberi makan minum selain bekerjasama dengan pihak Arab Saudi untuk urusan membawa mereka pulang.

Pada Selasa lalu, seramai 26 jemaah rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah kerana memiliki visa haji Furada yang tidak sah, menyebabkan mereka terpaksa diterbangkan pulang ke Malaysia. - Bernama