Ketua Pengarah Pusat Perunding Haji Furada, Ahmad Tajuddin Idris Al-Manhaji berkata, semakan itu boleh dibuat melalui sistem dalam talian milik Kementerian Luar Arab Saudi dengan hanya menggunakan pasport mereka.

Menurutnya, semakan awal itu penting bagi memastikan bakal jemaah haji tidak menjadi mangsa penipuan 'ulat' atau broker visa tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan sempena musim haji.

"Isu ini berlaku apabila ulat visa menjanjikan kelulusan visa Furada kepada agensi pelancongan tetapi gagal mengotakan janji. Sebab itu kita lihat banyak kes penipuan berlaku sehingga ada yang edit kertas visa sedangkan dalam sistem tiada nama.

"Ada pula jemaah dan agensi pelancongan yang terlalu percaya pada ulat visa ini dan tidak langsung menyemak. Kelulusan ini mudah, jika semak lulus memang dia lulus, (tetapi) jika tiada memang kuota tidak diluluskan. Sistem yang digunakan itu sungguh baik dan jarang sekali ada kesilapan," katanya kepada Bernama di sini hari ini. - Bernama