Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, sebagai seorang pemimpin negara ini beliau amat kesal perkara sedemikian terjadi kepada rakyat Malaysia yang ingin mengerjakan haji, namun menjelaskan visa Furada bukan dalam bidang kuasa kerajaan Malaysia.

"Harus diketahui kuota (haji) Malaysia adalah melalui (Lembaga) Tabung Haji, kuota khas dan tambahan semuanya melalui Tabung Haji. Pesanan saya semoga jemaah haji terkandas itu dipermudahkan urusan mereka, sampai atau balik semula," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau terdahulu merasmikan Kempen Kebersihan Masyair Jemaah Haji Malaysia di sini hari ini yang turut hadir Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman.

Seramai 26 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah dekat sini sejak Isnin, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Musim haji tahun ini menyaksikan 33,000 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Sementara itu, Fuziah berkata, lapan jemaah haji Malaysia telah meninggal dunia di Tanah Suci setakat ini kerana pelbagai sebab antaranya jangkitan kuman sekunder, dan daripada jumlah itu seramai enam orang merupakan jemaah haji lelaki manakala dua lagi adalah perempuan.

"Sebab kematian dilihat ramainya atas umur yang agak lanjut, banyaknya jangkitan kuman sekunder sama ada jangkitan kuman dalam paru-paru, ada yang kena jangkitan kuman kemudian kuman itu merebak ke darah jadi itu puncanya.

"Itu sebenarnya disebabkan daya tahan yang rendah, seperti saya katakan jaga kesihatan diri.  (Lembaga) Tabung Haji sudah cuba yang terbaik (menjaga jemaah haji), saya yakin pengakhiran baik buat jemaah itu dan kita doakan yang baik," katanya.

Dalam pada itu ketika mengulas mengenai kempen itu, beliau berkata disiplin menjaga kebersihan dan tingkah laku dalam kalangan jemaah haji Malaysia mendapat pujian terutama daripada kerajaan Arab Saudi yang mana ia perlu diteruskan demi menjaga nama baik Malaysia. - Bernama