“Vietnam meminta China sebagai sebuah negara besar agar dapat menunjukkan rasa tanggungjawab dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut Timur,” kata jurucakap Kementerian Luar Negeri Vietnam, Le Thi Thu Hang dalam satu kenyataan, merujuk kepada Laut China Selatan.

Kenyataan itu disiarkan selepas rangkaian berita Amerika Syarikat (AS), CNBC melaporkan awal bulan ini bahawa China telah memasang peluru berpandu anti-kapal pelayaran dan sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara di tiga posnya di Laut China Selatan dengan memetik sumber-sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai laporan risikan AS.

Vietnam dan China telah terlibat dalam pertikaian maritim di beberapa bahagian Laut China Selatan yang mana China menuntut 90 peratus daripada wilayah maritim itu yang kaya dengan tenaga berpotensi.

“Vietnam amat prihatin terhadap maklumat tersebut (seperti yang dilaporkan) dan menegaskan bahawa semua aktiviti ketenteraan termasuk pemasangan peluru berpandu di kepulauan Spratly adalah satu pencabulan serius terhadap kedaulatan Vietnam,” kata Hang dalam kenyataan yang disiarkan di laman web kementerian semalam.

Pemasangan itu, jika disahkan, akan menandakan pelantar peluru berpandu pertama China di Laut China Selatan, yang turut dituntut oleh pesaing dari negara-negara Asia lain termasuk Taiwan, Filipina dan Brunei.

China tidak menyebut tentang sebarang pemasangan peluru berpandu tetapi mengatakan kemudahan ketenteraannya di Spratly adalah untuk tujuan pertahanan semata-mata dan mereka boleh melakukan apa yang diingini di wilayahnya sendiri. - Reuters