Bagaimanapun, Ahmad Zahid ,66, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah selepas ketujuh-tujuh pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi. 

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh Ahmad Zahid didakwa secara rasuah menerima suapan berjumlah $SGD4.24 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. iaitu syarikat tersebut sebagai pengendali perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan VLN. 

Ia sebagai dorongan untuk tertuduh yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri untuk melanjutkan kontrak syarikat berkenaan.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, antara 28 Mac 2017 hingga 2 Mac 2018.

Kesemua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar menawarkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh. 

"Oleh kerana tertuduh sebelum ini pernah didakwa di mahkamah, pasportnya sudah berada dalam simpanan mahkamah, " katanya. 

Dalam prosiding itu peguam Kitson Foong, yang mewakili Ahmad Zahid tidak membantah dan bersetuju dengan jumlah jaminan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Isnin lalu, media melaporkan, menteri kanan kerajaan terdahulu akan dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi merekodkan kenyataannya sebelum dituduh di mahkamah. 

Berdasarkan laporan itu, syarikat berkenaan diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2016 bagi mengendalikan Sistem Visa Luar Negara (VLN) secara dalam talian termasuk eNTRI dan eVISA untuk pelancong China yang ingin datang ke Malaysia.

Penyelewengan membabitkan syarikat terbabit mula didedahkan didedahkan sebuah akhbar melalui laporan eksklusif bertajuk ‘Beruk Boleh pada 14 November 2018 dengan wartawan akhbar itu ke Guangzhou, China bagi melihat operasi dilakukan syarikat terbabit. - K! ONLINE