Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan itu diambil sebagai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi dalam setiap siasatan dilakukan.

"Kita ambil pendekatan menyeluruh yang mana semua pihak akan dipanggil untuk diambil keterangan mereka.

"Langkah demi langkah (siasatan) akan dilakukan yang mana pendekatan kita amat profesional untuk memberikan keadilan kepada semua pihak," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Terdahulu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan hadir merasmikan Majlis Perasmian Kompleks IPK Perlis.

Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata beliau, pihaknya juga tidak akan membuat sebarang kesimpulan awal sehingga siasatan kes itu selesai sepenuhnya.

"Kita belum dapat lagi apa-apa petunjuk siapa salah, siapa benar dan adakah itu (video) palsu atau tidak, jadi berilah masa kepada polis untuk melengkapkan siasatan," ujarnya.

Ketika ditanya tentang ketulenan video intim tersebut, kata Abdul Hamid, beliau belum dapat mengesahkannya kerana siasatan masih dijalankan.

"Saya bukan seorang yang pakar dalam bidang ini dan ia memerlukan satu proses untuk menyiasat bagi memastikan ketulenannya," jelasnya.

Kata beliau lagi, selain aspek ketulenan video, siasatan meliputi aspek lain termasuk adakah individu yang membuat dakwaan itu benar-benar yakin dalam keterangannya.

"Adakah dia masih tetap pendirian dengan apa yang dia cakap atau nak ubah, kita nak tahu sama ada dia dipaksa atau tidak, ada konspirasi macam mana. Itu semua akan disiasat pegawai penyiasat," katanya.

Berhubung penahanan Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mendakwa dirinya terlibat dalam video intim bersama seorang menteri itu, menurut beliau, Haziq ditahan untuk diambil keterangan selain menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur atas apa yang didakwa berlaku terhadapnya.

"Dia akan dibebaskan dengan bon jaminan polis pada petang ini dan boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk mendapatkan keterangan dan penjelasan lanjut berhubung kes tersebut," katanya.- K! ONLINE