Ketibaan baginda disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan warga HRC yang teruja untuk bertemu mata dengan Raja Permaisuri Agong yang terkenal dengan sifat peramah dan keibuan itu.

Turut hadir menyambut ketibaan Tunku Azizah ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa merangkap Pengerusi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengarah HRC, Dr. Roslan Johari Mohd.Ghazali.

Kunjungan Tunku Azizah adalah sebahagian daripada program yang diatur sempena istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai ketua utama negara, yang disempurnakan pada Selasa lepas.

Sifat prihatin dan keibuan Tunku Azizah terserlah apabila baginda tidak canggung berinteraksi dengan pesakit kanak-kanak di Unit Teknologi Rehab dan Wad Kanak-Kanak, HRC.

Baginda yang meluangkan masa kira-kira setengah jam di wad berkenaan kelihatan terhibur dengan keletah anak-anak yang berada di wad itu.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong dihiburkan dengan persembahan muzik oleh 11 pesakit kanak-kanak di Auditorium hospital berkenaan.

Pada kunjungan itu, Tunku Azizah turut berkenan menyerahkan sumbangan RM30,000 kepada HRC bagi membantu pengurusan hospital berkenaan.

HRC yang beroperasi pada 26 April 2012, dibina bertujuan menjadi pusat rujukan hospital awam dan swasta sama ada dari dalam atau luar negara dalam bidang rawatan rehabilitasi secara intensif.

Seramai 70,783 pesakit menerima rawatan di hospital itu tahun lepas, terdiri daripada 49.6 peratus pesakit dewasa, pesakit warga emas (31.5 peratus) dan selebihnya adalah pesakit kanak-kanak.
HRC menyediakan tujuh perkhidmatan rawatan iaitu rehabilitasi neurologi, spinal, jantung, kecederaan otak, pediatrik, geriatrik dan muskuluskeletal.

Hospital itu turut menyediakan perkhidmatan terapi iaitu terapi pemulihan anggota, terapi pemulihan carakerja, terapi pemulihan pertuturan dan terapi pemulihan pendengaran. - Bernama