Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, ini bagi mengelakkan insiden pencemaran sisa bahan kimia seperti di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor berulang kembali di Lembah Klang. 

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan secara lanjut sama ada pihaknya telah mengenal pasti pelakunya. 

"Kalau ada seperti kes di Sungai Kim Kim , tindakan tegas akan diambil," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Peringatan Polis ke-212 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas video berdurasi 44 saat berkaitan pencemaran yang dimuat naik semalam di laman twitter Setiausaha Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Pulau Pinang, Mathis Sarawanan. 

Video itu telah ditonton lebih 21, 000 pengguna laman sosial tersebut sehingga menimbul rasa marah mereka terhadap pencemaran itu. 

Menerusi twitter itu, Mathis dipetik berkata, menerima video tersebut daripada rakannya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. 

"Cuba lihat bagaimana sisa buangan mengalir terus ke dalam sungai kita. YB @teresakok / YB @KhalidSamad sila ambil tindakan sepatutnya berkenaannya secepat mungkin. Kita tidak boleh membiarkan kejadian seperti di Pasir Gudang berulang lagi," katanya.

Mathis turut memuat naik sebuah video lagi berdurasi 24 saat yang mendapat tontonan 6,431 pengguna Twitter selain sekeping gambar memaparkan perubahan Sungai Klang susulan pencemaran itu. - K! ONLINE