Lafaz cerai itu dibuat, Fizo atau nama sebenarnya  Wan Hafizol Wan Omar, 34, selaku defendan terhadap Mawar, 30, sebagai plaintif di hadapan Hakim Syarie Che Abdullah Che Hassan pukul 10.55 pagi. 

Che Abdullah yang mendengar lafaz cerai itu,  kemudian mensabitkan perceraian dengan talak satu terhadap pasangan itu dan memerintahkan Mawar menjalani tempoh edah selama tiga bulan termasuk Fizo perlu mendaftarkan perceraian mereka dan sijil nikah dibatalkan. 

Permohonan cerai tersebut dibuat Mawar mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 17 Jun lalu. 

Terdahulu semasa prosiding, Che Abdullah bertanya adakah Fizo bersetuju untuk menceraikan isterinya, selebriti itu menjawab dia bersetuju kerana tiada keserasian dan persefaham antara mereka sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan penceraian tersebut berpunca dari masalah keluarga dan tidak melibatkan orang ketiga.  

Dalam prosiding itu Mawar diwakili peguam syarie Zulkifli Che Yong manakala Fizo tidak diwakili peguam syarie. 

Kosmo! 24 Jun lalu melaporkan Fizo dalam satu kenyataan memberitahu dia belum bersedia untuk memperincikan desas-desus berhubung kemelut rumah tangga apabila isteri­nya dilaporkan sudah mendapatkan khidmat peguam bagi menyelesaikan perkara tersebut. 

Fizo berkata, buat masa ini adalah lebih baik dia mengambil keputusan untuk tidak bercakap lebih lanjut mengenai hal rumah tangganya.

Dalam laporan itu ketika ditanya tentang laporan kesahihan satu ruangan akhbar tempatan yang mendakwa dia dan isteri menyambut Aidilfitri secara berasingan, Fizo menjelaskan bahawa dia baru dimaklumkan mengenai laporan tersebut dan mengambil keputusan untuk mengunci mulut. - K! ONLINE