Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pemeriksaan menerusi imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati tiada pendarahan pada kepala pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di sini tersebut.

"Saya difahamkan Muhammad Syukur telah muntah sebanyak empat kali selepas terjatuh daripada kerbau pada pukul 8 pagi semalam.

"Kita bimbang kerana biasanya gejala muntah selepas terjatuh merupakan petanda individu terbabit berkemungkinan mengalami pendarahan pada bahagian kepala namun alhamdulillah keputusan CT Scannya normal," katanya kepada pemberita ketika melawat Muhammad Syukur di wad HSNZ di sini hari ini.

Nor Azimi berkata, Muhammad Syukur berkemungkinan mengalami gegaran otak akibat impak terjatuh tersebut namun dia bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Menurut beliau, remaja yang dikenali sebagai 'Mogwli Malaysia' itu akan dibenarkan keluar dari wad pada petang ini.

Kosmo! Online malam tadi melaporkan Muhammad Syukur dikejarkan ke HSNZ pada pukul 9 malam semalam selepas terjatuh dari kerbau di kandang ternakan bapanya di Kampung Kubang Bujuk di sini hari ini.

Abang remaja itu, Mohd Alias Khamis, 29, berkata, Muhammad Syukur terjatuh dari kerbau ternakan bapa mereka sewaktu menjalani sesi fotografi bersama seorang jurugambar dari Pulau Pinang pada pukul 8 pagi. - K! ONLINE