Tertuduh pertama S. Gopal, 33, dan isterinya R. Rani, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah manakala remaja perempuan berusia 13 tahun mengaku bersalah sebaik pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam Bahasa Tamil dihadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Pada prosiding tadi, pasangan itu dilihat menangis manakala remaja perempuan berkenaan kelihatan tenang.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, ketiga-tiga tertuduh didakwa memukul dua beradik itu menggunakan kayu sekuriti, paip getah dan wayar kabel pada bahagian kepala, muka, badan, tangan dan kaki selain meletakkan garpu serta pisau panas pada bahagian punggung, tangan, kaki dan tapak kaki.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong dekat sini pukul 2.45 petang pada 15 Jun lalu.

Mengikut dua pertuduhan lain yang dihadapi pasangan itu, mereka didakwa melakukan pengabaian terhadap kedua-dua mangsa sehingga menyebabkan dua beradik itu mengalami kekurangan zat yang kronik termasuk anemia di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Kesemua tertuduh dituduh mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34.

Pada 15 Jun lalu, polis menahan pasangan suami isteri dan remaja perempuan terbabit selepas menerima maklumat orang awam yang memberitahu dua beradik itu dijumpai dalam keadaan kesan dera pada seluruh badan selain mengalami kekurangan zat makanan.

Mereka kemudian direman selama lima hari bermula Ahad lalu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi membantu siasatan kes itu. - K! ONLINE