Hakim Syarie Husaini Roslin mengesahkan penceraian itu selepas merujuk lafaz cerai yang dibuat Radhi, 41, terhadap Nur Shahirah, 25, melalui lisan pukul 4.20 pagi pada 25 Mac lalu.

"Dengan merujuk lafaz cerai yang dibuat kamu (Radhi) dan kamu sendiri bersetuju dengan lafaz cerai tersebut, mahkamah mengesahkan jatuh talak satu dengan lafaz yang dibuat secara  talak rajie (talak yang dilafaz secara jelas)," katanya.

Selain itu Husaini turut memerintahkan Nur Shahirah menjalani tempoh edah selama tiga bulan selaim memerintahkan mereka mendaftarkan perceraian mereka dan sijil nikah dibatalkan.

Nur Shahirah selaku plaintif memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai terhadap Radhi selaku defendan pada 3 Jun lalu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk Radhi membuat sumpah nafi susulan 
keterangannya kepada mahkamah pada 24 Jun lalu bahawa dia tidak mengingati lafaz yang dibuat kepada Nur Shahirah pada hari kejadian.

Terdahulu, sebelum mahkamah mensabitkan penceraian itu, Husaini ada bertanya kepada Radhi adakah dia masih mahu menafikan lafaz cerai yang dibuat pada isterinya, Radhi kemudian menjawab dia tidak menafikan lafaz cerai itu namun hanya tidak perkataan.

"Saya tidak nafi cuma saya tidak pasti exactly word (perkataan tepat) sama ada sama ada saya lafaz perkataan cerai, lepas, blah dan chow. Tapi saya memang ada cakap namun tak pasti," katanya.

Husaini bagaimanapun berkata, walaupun tidak ingat satu perkataan, Radhi masih perlu melafazkan sumpah nafi kerana Ayu masih konsisten dengan dakwaannya bahawa Radhi melafazkan ' Aku cerai kau dengan talak satu'.

Selepas mendengar penerangan mahkamah, Radhi kemudian mengubah fikiran dan akhirnya bersetuju dengan dakwaan yang dikemukakan isterinya.

Dalam prosding itu, pasangan itu masing-masing tidak diwakili peguam dan hadir secara berasingan.

Sementara itu, Radhi ketika ditemui selepas tamat prosiding berkata dia bersedia untuk merujuk kembali kepada bekas isterinya.

"Allah sudah beri pilihan kalau hendak rujuk so next step (langkah seterusnya) rujuklah," katanya yang reda dengan penceraian itu.

Dalam pada itu, Nur Shahirah ketika ditemui berkata dia belum bersedia memikirkan soal rujuk tersebut.

Katanya, dia meminta semua pihak memberikan masa untuk dia menyelesaikan dan menguruskan semua urusan.

"I (saya) tidak fikir hendak rujuk ke apa tapi Alhamdulilah semuanya selesai," katanya. - K! ONLINE