Ketua Cawangan Mamalia Marin dan Pegawai Penyelidik Perikanan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun, Terengganu, Mohd. Tamimi Ali Ahmad berkata, penemuan itu mendedahkan punca kematian mamalia tersebut.

"Anak ikan paus yang berusia kurang setahun ini masih menyusu dan haiwan itu dipercayai kelaparan selepas terpisah daripada ibunya sebelum terperangkap di kawasan Pantai Kuala Sala yang berlumpur ini sebelum mati.

"Justeru, punca kematian mamalia ini adalah kelaparan dan terperangkap di dalam lumpur berdasarkan penemuan lumpur di dalam saluran pernafasan dan paru-paru," katanya kepada pemberita di kawasan Pantai Kuala Sala di sini hari ini.

Proses bedah siasat dilakukan Mohd. Tamimi dan Pegawai Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah, Dr. Syarifah Syazana Syed Ahmad dengan dibantu pegawai Perlindungan Sumber Pejabat Perikanan negeri.

Kata beliau, beberapa sampel tisu diambil untuk ujian histopatologi oleh pakar FRI.

"Ujian itu adalah untuk kajian lanjut termasuk mengenal pasti asid deosiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan spesies anak ikan paus itu secara lebih tepat," ujarnya.

Menurut Mohd. Tamimi, pihaknya percaya ikan paus itu merupakan anak kepada sekumpulan ikan paus yang ditemui penyelam di perairan Pulau Payar, Langkawi pada 9 Mac lalu.

"Kumpulan ikan paus yang sifatnya sering bermigrasi di perairan seluruh dunia ini dipercayai melalui perairan Kedah untuk mencari makanan memandangkan laut di sini kaya dengan ikan bilis dan udang yang menjadi makanan haiwan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, bedah siasat turut dilakukan ke atas bangkai ikan lumba-lumba betina dewasa dianggarkan berusia 20 tahun daripada spesies Empesut yang ditemui mati di kawasan pantai Alor Ibus di Kuala Tebengau, Kuala Kedah dekat sini pada hari yang sama.

"Bedah siasat mendapati ruang perut ikan lumba-lumba itu dipenuhi tulang ikan manakala saluran ususnya pula kosong.

"Tulang ikan itu dipercayai menutup saluran ke usus menyebabkan baki makanan tidak dapat dihadam mengakibatkan haiwan itu mengalami sakit perut berpanjangan dan kelaparan dalam tempoh lama sehingga mati," jelasnya. - K! ONLINE

Ikan lumba-lumba yang ditemui mati semalam.
Ikan lumba-lumba yang ditemui mati semalam.