Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Muhammad Najib Hamzah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mangsa, seorang wanita berusia 65 tahun sedang menunaikan solat Subuh di masjid itu ketika suspek mencuri beg tangannya.

“Suspek disyaki seorang lelaki warga tempatan yang memakai jaket bertutup kepala telah memasuki ruangan solat wanita melalui pintu di bahagian tepi kawasan tersebut.

“Seterusnya, dia mengambil beg tangan yang diletakkan di hadapan tempat mangsa bersolat dan terus melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal yang tidak dapat dipastikan jenis, warna dan nombor pendaftarannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib menambah, mangsa mendengar rakannya menjerit bahawa suspek telah mencuri beg tangannya dan melarikan diri.

“Dia dan beberapa jemaah lain cuba mengejarnya tetapi suspek berjaya melarikan diri. Mangsa mengalami kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2,000 akibat kehilangan telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan suspek tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Muhammad Hafiz di talian 016-8741898 atau Asisten Superintendan M. Hussin di talian 017-2446363 atau 03-9289 9222,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan dan orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati serta mengelakkan daripada membawa barang berharga ketika bersolat di masjid atau surau.

Terdahulu, telah tular sebuah video yang berdurasi 41 saat memaparkan seorang lelaki bertindak mengambil beg tangan salah seorang jemaah wanita yang sedang bersolat Subuh di sebuah masjid. - K! ONLINE