Tuan rumah terlebih dahulu memecah benteng pertahanan pelawat pada minit ke-3 namun rembatan penyerang importnya dari Guinea, Berete Mamadou sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.

Pelawat melakukan beberapa serangan balas selepas itu untuk mencari gol pertama tetapi berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan tuan rumah. 

Penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi hampir meletakkan pelawat di hadapan namun rembatannya singgah ditiang gol tuan rumah pada minit ke-20.

Ketika separuh masa pertama seakan-akan berkesudahan tanpa jaringan, Muhamad Firdaus Abdul Razak berjaya menceriakan penyokong tuan rumah menerusi jaringan menarik hasil sepakan percuma pada masa tambahan. 

Bersambung babak kedua, Perak melakukan serangan bertali arus namun penjaga gol tuan rumah, Mohamad Rozlan Arbae bertindak cemerlang menjaga gawangnya agar tidak dibolosi. 

Mohamad Rozlan ternyata sukar dibolosi apabila berjaya menangkap kemas tandukan pemain tengah Perak, Brendan Gan pada minit ke-70.

Penyerang import pelawat, Wander Luiz bagaimanapun berjaya memecah kebuntuan apabila menyamakan kedudukan 1-1 lima minit kemudian setelah menanduk masuk hantaran Muhammad Shahrel Fikri. 

Penyerang dari Brazil itu berjaya meledak gol kedua pada minit ke-84 bagi memastikan kemenangan milik Perak untuk layak ke peringkat suku akhir. - K! ONLINE