Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.13 petang itu, kedai emas berkenaan telah dimasuki oleh tiga lelaki bertopi keledar yang memakai vest pantul cahaya.

"Sewaktu kejadian, mangsa yang berasal dari Perak itu berada di dalam kedai emas berkenaan bersama seorang lagi pekerja wanita berusia lewat 20-an.

"Salah seorang suspek kemudiannya melepaskan satu das tembakan yang tepat mengenai dada lelaki berkenaan dipercayai kerana tidak berpuas hati apabila mangsa tidak mengendahkan arahan mereka," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Menurut Fadzil, ketiga-tiga suspek mengambil masa dua ke tiga minit untuk melarikan empat dulang mengandungi barangan kemas sebelum meloloskan diri. 

"Kesemua suspek melarikan diri dengan menggunakan dua buah motosikal yang ditinggalkan di luar pasar raya berkenaan yang dijaga oleh suspek keempat. 

"Satu kelongsong peluru turut ditemui di lokasi kejadian dan mangsa dipercayai mati ditembak dengan menggunakan sepucuk pistol jenis semi automatik. 

Jelas Fadzil, buat ketika ini anggota unit forensik masih melakukan siasatan bagi mengenalpasti jumlah kerugian dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 302 kanun sama. - K! ONLINE