Tertuduh Shafiqah Izzati Badrul Hisham, 22, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Shafiqah didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap ibu saudaranya, Rafzaliza Rafli , 34, dan rakan Rafzaliza, Nadia Mohd. Khalid, 35, dengan menggunakan asid.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah Jalan Kencana, Taman Kencana Fasa 2, Pandan Perdana di sini pukul 3. 30 petang pada 29 Januari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan sebarang jaminan atas sebab tertuduh mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa Rafzaliza yang merupakan ibu saudaranya selain faktor keselamatan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan ikat jamin dengan alasan dia mempunyai gangguan emosi.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Suzana membuat keputusan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dengan menggunakan pakai hujah yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Mac ini bagi sebutan semula kes.

Difahamkan punca kejadian dari isu hutang dan akibat dari simbahan asid itu kedua-dua mangsa mengalami lecur yang teruk di bahagian muka dan badan. - K! ONLINE