Tertuduh, N. Maridass, 35, Yap Yoke Liang, 42, dan Wang Jing Choa, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan berasing di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Mengikut kertas pertuduhan, Maridass didakwa melupuskan buangan terjadual di bawah Kod SW311 iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak seperti dalam senarai Jadual Pertama Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) 2005 ke dalam Sungai Kim Kim.

Manakala Yoke Liang dan Jing Choa yang juga warganegara Singapura dituduh bersama-sama bersubahat dengan Maridass melakukan perbuatan terbabit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kesemua tertuduh menggunakan lori jenis Mitsubishi Semi Treler M/Sawit tanpa mendapat apa-apa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang antara 12 tengah malam hingga 1 pagi, 7 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34B(4) akta sama, manakala pendakwaan terhadap Yap dan Wang juga dibaca bersama Seksyen 42 akta yang sama.

Mereka berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Asyraf Md. Kamal dan Maridass diwakili peguam bela, Rathakrishna manakala peguam G. Subramanium mewakili tertuduh Yoke Liang dan Jing Choa.

Jailani kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin ke atas Maridass dan RM250,000 dengan seorang penjamin ke atas Yoke Liang selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah memutuskan tiada jaminan ditetapkan ke atas Jing Choa.

Yoke Liang dan Jing Choa akan dituduh 15 lagi pertuduhan di mahkamah sama pada petang ini. - K! ONLINE