Tertuduh, K. Vaitheswaran,  21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Jamaliah Abd. Manap.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta secara berbahaya sehingga meyebabkan kematian pemandu kenderaan SUV, Moey Yun Peng, 20.

Vaitheswaran didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 3 pagi pada 20 Januari lalu di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang arah Perai dekat sini.

Tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai pendandan rambut itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 serta hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amir Abdul Karim, manakala tertuduh  diwakili peguam, S. Parameswaran.

Mahkamah menetapkan 18 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 beserta seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai dan perlu melapor diri di balai polis pada setiap bulan.

Dalam kejadian itu, Yun Peng yang memandu SUV jenis Mazda CX5 ditemui mati lemas di dalam kenderaan itu selepas ia terjunam ke dalam laut sejurus terlibat kemalangan di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang arah Perai.

Berdasarkan rakaman video oleh saksi, SUV berkenaan dilanggar dari belakang oleh kereta Toyota Vios yang terbabas sebelum hilang kawalan.

Mayat mangsa bersama SUV itu berjaya dinaikkan pada hari ketiga selepas kejadian. - K! ONLINE