Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, aksi pemandu berusia 59 tahun itu tular susulan sebuah video berdurasi 1.11 minit yang dimuat naik di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika seorang pemandu kereta memandu di sebelah kanan lorong di SKVE berdepan detik cemas selepas lori tangki tersebut dipandu secara melawan arus.

Katanya, bagaimanapun tiada sebarang kemalangan berlaku susulan pemandu kereta sempat mengelak lori tangki berkenaan.

"Aksi berbahaya dilakukan pemandu lori tangki itu bermuatan bahan kimia bagi memproses arak berjaya dirakam oleh seorang pengguna lain sebelum memuat naik di laman sosial Facebook.

"Bertindak atas maklumat tersebut, polis akhirnya berjaya menahan pemandu lori tersebut di Kawasan Rehat Tanjung Dua Belas di sini," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Jarak antara lokasi pemandu itu ditahan dan tempat bermula pemanduan lawan arus dianggarkan kira-kira 17 kilometer.

Azman menambah, semakan rekod mendapati terdapat satu saman ke atas pemandu lori sebelum ini atas kesalahan memandu menggunakan alat komunikasi.

"Selain itu satu saman turut direkodkan terhadap lori berkenaan kerana memotong secara berbahaya.

"Soal siasat terhadap lelaki tersebut menyatakan bertindak demikian disebabkan tersilap jalan dengan kita sedang menunggu laporan air kencing dan alkoholnya," katanya.

Jelas beliau, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Telok Datuk esok.

Kes kini disiasat Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE